Connect with us

Oh! Media

Nak Minta Semula Hadiah Hantaran Lepas Putus Tunang? Ini Penjelasan Hukum Dari Sudut Islam

tunang

Oh! Islam

Nak Minta Semula Hadiah Hantaran Lepas Putus Tunang? Ini Penjelasan Hukum Dari Sudut Islam

Bagi anda yang mempunyai masalah sudah mengikat tali pertunangan tetapi tiba-tiba tanpa ada sebab yang munasabah pihak di sebelah sana ingin memutuskan pertunangan atas sebab yang tidak diketahui. 

ADVERTISEMENT

Dalam pada itu, anda juga buntu memikirkan bagaimana ingin mengambil semula hadiah hantaran pertunangan yang telah diberikan kepada pihak sebelah sana.

Kali ini, kami akan kongsikan penjelasan dari segi sudut Islam mengenai hukum meminta semula hadiah pertunangan apabila sudah putus tunang.

Tunang

Hadiah yang diberikan sebagai hantaran untuk pertunangan boleh untuk diambil kembali sekiranya mereka tidak jadi untuk berkahwin. Namun disyaratkan pemberian tersebut mestilah dengan tujuan untuk pernikahan. Manakala jika pemberian tersebut bukan dengan niat untuk pernikahan tetapi semata-mata sebagai hadiah maka tidak dibenarkan untuk mengambilnya kembali kerana ia termasuk dalam larangan hadis Nabi SAW:

العائدُ في هِبَتِهِ كالعائدِ في قَيْئِهِ

Maksudnya: “Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Malah, ia telah menjadi adat di kalangan masyarakat Melayu untuk bertukar cincin, membawa dulang ke rumah si perempuan dan lain-lain dalam majlis pertunangan yang dipanggil ‘hantaran’ dan ini adalah merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah dengan Islam.

Tambahan, ia hanya sebagai simbolik dan tanda keseriusan untuk menjadikan perempuan tersebut sebagai isteri.

Selagi mana adat tersebut tidak berlanggar dengan syarak maka ianya adalah perkara yang harus.

Mengenai hukum mengambil semula hantaran yang telah diberikan, secara asasnya hukum meminta semula hadiah atau pemberian yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan pemberian dari seorang bapa kepada anaknya.

Tunang

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda:

لا يَحِلُّ لرجُلٍ أن يُعطِيَ عَطيَّةً، أو يهَبَ هِبَةً، فيرجِعَ فيها، إلَّا الوالدَ فيما يُعطِي وَلَدَهُ، ومثَلُ الَّذي يُعطِي العَطيَّةَ ثمَّ يرجِعُ فيها كمثَلِ الكَلْبِ يأكُلُ، فإذا شبِع قاء ثمَّ عاد في قَيْئِهِ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang laki-laki yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya kembali, kecuali orang tua mengambil apa yang ia berikan kepada anaknya. Bandingan orang yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya seperti anjing yang makan, maka setelah kenyang ia muntah kemudian menelan muntahannya kembali.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Walau bagaimanapun ulama mazhab Syafi’i berpendapat bahawa hadiah yang diberikan semasa pertunangan boleh untuk diminta kembali sekiranya mereka tidak jadi untuk berkahwin kerana tujuan dari pemberian tersebut ialah untuk perkahwinan. Oleh itu, apabila perkahwinan tidak berlaku maka pemberian tersebut berhak untuk diambil kembali. Dalam hal ini Imam al-Baijuri berkata:

ولو أنفق على المخطوبة ولم يتزوجها رجع بما أنفقه حتى الملح

Maksudnya: “Jika seorang lelaki memberikan pemberian kepada seorang perempuan yang dipinangnya namun dia tidak jadi berkahwin maka dia boleh untuk mengambilnya kembali sekalipun berupa garam.

Namun, pemberian tersebut haruslah dengan bertujuan untuk pernikahan. Jika pemberian berkenaan bukan dengan niat untuk pernikahan tetapi semata-mata sebagai hadiah maka tidak dibenarkan untuk mengambilnya kembali kerana ia termasuk dalam larangan hadis Nabi SAW di atas.

Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa:

“Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.”

Konklusinya, hadiah yang diberikan sebagai hantaran untuk pertunangan boleh untuk diambil kembali sekiranya mereka tidak jadi untuk berkahwin.

Pemberian tersebut boleh dipulangkan sama ada dengan memberikan kembali pemberian tersebut atau jika tidak ada maka boleh digantikan dengan nilainya. 

Kredit: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media.


@ohmedia

Nak jadi suami isteri ni dua-dua kena ilmu didada supaya tak terus hanyut ikut perasaan je.

♬ original sound – Oh! Media – Oh! Media

  • tunang
  • tunang

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas