Connect with us

Oh! Media

#luahanrakyat “Tak Semua Orang Ada Simpanan KWSP, Sudah-Sudahlah Korek Dana Pencen” – Netizen

Branded

#luahanrakyat “Tak Semua Orang Ada Simpanan KWSP, Sudah-Sudahlah Korek Dana Pencen” – Netizen

Rakyat Malaysia semakin tertekan. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan atau lebih popular dengan nama PKP berkuatkuasa 18 Mac 2020, rakyat Malaysia dihimpit dengan pelbagai dilema, baik dari segi pekerjaan, kewangan, hubungan kekeluargaan, dan banyak lagi. Masing-masing berhadapan masalah yang dilihat seperti tiada kesudahan.

BACA: Luahan Rakyat: “PKP Masih Diteruskan & Ramai Terus Tersepit, Takkan Nak Harapkan i-Sinar 2.0 Pula?”

Berikut kami kongsikan pandangan dari salah seorang pengikut Ohmedia yang menyatakan rasa kebimbangannya terhadap apa yang berlaku pada waktu ini.

Pengeluaran dana KWSP menerusi i-Sinar dan i-Lestari boleh diibarat seperti rezeki yang turun dari langit bagi sesetengah pihak. Mana tidaknya, selama ini kita hanya menyimpan dan menyimpan, dan dana yang terkumpul itu hanya boleh ‘diusik’ selepas kita mencapai umur pencen iaitu 60 tahun.

Namun disebabkan pandemik Covid-19 melanda dunia, kerajaan memberi green light untuk pencarum mengeluarkan dana tersebut demi kelangsungan hidup. Maklumlah, pandemik Covid-19 telah banyak mendatangkan mudarat kepada rakyat, baik dari segi ekonomi, keluarga, perhubungan, pendidikan, pekerjaan, dan macam-macam lagi.

Seronok ke dapat RM10,000? Mestilah seronok. Tapi sampai bila perasaan seronok itu bertahan? Dan soalan yang lebih penting, sampai bila dana RM10,000 itu dapat menampung kehidupan seharian? Mungkin 2 bulan, atau maksimum 4 bulan? Selepas itu, ke mana pula kita perlu bergantung harap untuk mendapatkan dana?

Terbaru, i-Citra pula diumumkan melalui pelan PEMULIH. Kali ini rakyat diberi kebenaran untuk mengeluarkan sejumlah RM5,000 dari Akaun 1 dana KWSP mereka. Nampaknya, semakin lama PKP berkuatkuasa semakin nipislah simpanan hari tua rakyat jelata. Tak semena-mena rakyat perlu mencari sumber lain pula untuk menampung perbelanjaan sesudah pencen nanti.

Inilah sebenarnya masalah lebih besar yang perlu kerajaan lihat, teliti, dan selesaikan. Setakat memberi kebenaran mengeluarkan dana KWSP, kemudian kembali tidak mempedulikan rakyat, semua itu dilihat seperti sia-sia. Wahai kerajaan, masalah tidak selesai lagi, masih ramai rakyat yang sengsara dan terdesak memerlukan pertolongan kewangan.

Mana cukup hanya sekadar membenarkan rakyat mengeluarkan dana KWSP sahaja. Selepas itu, apa rancangan kerajaan untuk membela nasib rakyat yang kesusahan?

Sekarang ini, ramai rakyat sudah mula muak dengan kerajaan. Disuruhnya rakyat duduk di rumah sepanjang PKP, tapi kes tetap di atas 5,000 sehari. Selepas itu, bantuan yang diberikan kepada rakyat langsung tak setimpal. Logikkah hanya memberi bantuan RM100 kepada golongan bujang?

Akhirnya, bank bersetuju juga untuk memberi moratorium kepada rakyat tanpa syarat. Itu pun setelah didesak dengan hebat kiri kanan atas bawah sejak berbulan-bulan. Bantuan PEMERKASA sebelum ini yang tidak merangkumi moratorium telah membuat rakyat marah dan lebih kritikal terhadap kebolehan kerajaan dalam membantu rakyat meringankan beban.

Rakyat ada hak untuk menuntut moratorium. Kalau bank mampu mengaut keuntungan bernilai jutaan Ringgit, kenapa susah sangat nak beri moratorium kepada rakyat?

Ini lagi satu masalah. Dana KWSP itu adalah dana pencen, bukan dana bencana. Seteruk mana pun bencana melanda negara atau dunia, dana itu sepatutnya tidak boleh dikeluarkan langsung. Kerajaan sepatutnya perlu mempunyai pelan kontingensi yang lebih mantap dalam pengurusan bencana, terutamanya dari segi kebajikan rakyat.

Sudahlah tidak mempunyai pelan, memberi bantuan pun tidak setimpal, disuruh pula rakyat mengeluarkan dana pencen. Tak malu ke?

Dana pencen itu pun, bukannya semua orang ada. Statistik menunjukkan bahawa daripada 15 juta rakyat yang bekerja, hanya 5 juta pekerja sahaja yang mencarum ke dalam KWSP tiap-tiap bulan secara konsisten. Jadi, bagaimana nasib 10 juta pekerja yang tidak mencarum itu jika kita hanya bergantung kepada dana pencen tersebut?

Kalau kita kata polisi untuk mengeluarkan i-Sinar dan i-Lestari itu adalah untuk memberi bantuan kepada orang susah, ini sudah silap. Kerana golongan yang tak mencarum inilah sebenarnya orang susah.

Strategi kerajaan ini salah. i-Sinar dan i-Lestari ini hanya dapat membantu 1 per tiga golongan bekerja sahaja. Selebihnya tidak ada pun wang di dalam KWSP. Jadi kalau nak membantu, kerajaan perlu memberi bantuan tunai. Bukannya menyuruh rakyat mengeluarkan dana pencen yang sepatutnya digunakan pada hari tua nanti.

Selain itu, golongan yang bekerja sendiri juga terjejas, malah sebilangan besar daripada mereka tidak mencarum kepada KWSP ataupun PERKESO sekali gus mendedahkan mereka kepada kejutan ekonomi.

Wahai kerajaan, sedarlah bahawa pengeluaran dana pencen ini tidak membantu pun, malah rakyat akan lebih merana dalam jangka masa panjang apabila mereka pencen nanti. Cukuplah, berapa ramai lagi yang ada duit dalam akaun simpanan lepas bencana ini. Sudah tiba masanya untuk kerajaan fikirkan strategi yang lebih mampan dalam mambantu rakyat melangsungkan kehidupan.

Banyak juga persoalan yang cuba disampaikan tetapi akhirnya ia berbalik kepada kita sendiri untuk sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan. Sememangnya banyak perkara yang kita dapat belajar dari apa yang berlaku sekarang dan diharapkan pihak kerajaan juga dapat belajar dengan cuba merancang apa yang terbaik untuk membantu rakyat.

Jika anda ada sebarang perkongsian yang ingin diberikan kepada kami boleh maklumkan secara terus di Facebook Ohmedia.

Lagi dalam kategori Branded

Ke Atas